Thursday, September 3, 2009

Bank Islam untung RM233.1 juta


KUALA LUMPUR - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM233.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009 berbanding RM308.3 juta tahun kewangan sebelumnya.

Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat berkata, penurunan sebanyak 24 peratus itu disebabkan oleh kesan asas yang tinggi ekoran pembayaran balik pembiayaan sebanyak RM127.95 juta pada tahun sebelumnya.

Meskipun begitu, beliau menganggap, prestasi kewangan itu amat menggalakkan apabila untung operasinya meningkat sebanyak 28 peratus kepada RM359.2 juta berbanding RM280.2 juta tahun sebelumnya serta pertumbuhan deposit sebanyak 21.4 peratus kepada RM25.2 bilion.

"Jumlah pendapatan bagi tahun kewangan turut meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM1.27 bilion berbanding RM1.15 bilion dengan pendapatan bukan berasaskan dana menyumbang 11 peratus daripada keseluruhan pendapatan.

''Ini adalah peningkatan sumbangan yang besar, daripada hanya 8.1 peratus yang dicatatkan dalam tahun kewangan 2006, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

No comments: